
Sebutir berlian berwarna merah jambu yang akan dilelong firma lelong Sotheby's minggu depan, mampu mencatat rekod dunia jika dijual setinggi AS$27 juta hingga AS$38 juta (RM86.4 juta hingga RM121.6 juta).
Permata seberat 24.78 karat yang disifatkan sebagai 'berlian merah jambu paling istimewa' itu, boleh menyaingi rekod jualan lelong firma Christie's yang pernah menjual berlian biru Wittelsbach-Graff seberat 35.56 karat dengan harga AS$24.3 juta (RM78 juta) pada 2008.
Harga pasaran berlian adalah kira-kira AS$750,000 (RM2.4 juta) bagi satu karat. Harga itu juga belum termasuk komisen pelelong dan cukai jualan. Harga yang baik adalah AS$1 juta (RM3.2 juta) bagi satu karat.
Beberapa faktor peningkatan harga berlian tersebut mungkin disebabkan kecantikan luar biasa berlian selain jarang ditemui kerana permata tersebut tidak lagi berada dalam pasaran sejak dijual 60 tahun lalu. Tidak seperti berlian merah jambu lain, permata itu mempunyai potongan klasik batu zamrud dengan bahagian tepi yang bulat.
No comments:
Post a Comment